Pages

Sunday, October 31, 2010

Maaf ...aku sudah bertunang...

Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Iya, hanya beberapa minggu lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada. Benar, aku berusaha berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah.

Aku hanya seorang insan biasa. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.

Aku bukan seperti Syeikh Qadir al-Jailani. Aku hanya seorang insan yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama... Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi aku juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.

Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar aku sudah dikhitbah apabila melihat kedua tangan ku memakai cincin di jari manis. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian.
Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.

"Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?"

Aku menjawab tenang.. "Warna putih, bersih..."

"Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat."

"Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan."



Ibu angguk perlahan.

Beberapa hari ini, aku menyelak satu per satu... helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh sanubari aku sebagai hamba Allah. 'Malam Pertama'... Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.

Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku adalah al-Quran, yang setia menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului.

"Siapa tunang? Mesti hebat orangnya. Lawa tak?"

Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga.
"Insya Allah, 'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan diri dengan Allah. Itu yang paling utama."

Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.

"Jangan lupa jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!"

Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku dengan Allah. Sahabiah juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu.

"Bila nak menikah?"

Aku tiada jawapan khusus.

"Insya Allah, tiba waktunya nanti insyaAllah akan tahu jua..." Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.

"Jemput ana tau!" Keru tersenyum megah.

"Kalau tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak!" Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.

"Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..."

Rahsia ku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada ibu...


"Usah berlebihan ya..."

Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.

"Jom makan!"

Aku tersenyum lagi... Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.

"Tafaddal, ana puasa."


Sahabiah juga semakin galak mengusik.

"Wah, diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat... Tarikhnya tak tetap lagi ke?"

"Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi."

Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itu sahaja.

.......................................

"innalillahi wainna ilaihi rajiun..."

"Tenangnya... Subhanallah. Allahuakbar."

"Ya Allah, tenangnya..."

"Moga Allah memberkatinya...."

Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu.

Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak menjemput sendiri.

Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku kepada Allah.
Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum.
Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang mengkhitbah ku.


Dalam sedar tidak sedar...

Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku... Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.


"Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui..."

Akhirnya, Hafiz bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian...

"Siapa tunangannya, mak cik?"

Ibu tenang menjawab... "Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, dia hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh."

"Allahuakbar..." Terduduk Nasron mendengar, air matanya tak mampu ditahan.

"Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama..."

Ibu angguk, tersenyum lembut... "Ini nak, bukunya." Senaskah buku bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk 'Malam Pertama di Alam Kubur'.

"Ya Allah, patut la dia selalu menangis... Hafiz tak tahu mak cik."

"Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu dia mahu berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan..."

Hafiz masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diari yang diberikan oleh ibu.

"Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, kerana ibuku bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta. Dan ibu mengambil 'ibrah bukan dari namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim, seteguh dan setabah hati seorang ibu."

Mulai hari ini, jangan bersoal tika melihat saya memakai cincin. Kerana, saya sudah bertunang! Bertunang dengan kematian, tidak tahu bila saya akan dinikahkan dan tidak tahu bagaimana rezeki di malam pertama. Tetapi, sekurang-kurangnya apabila sudah dirisik dan bertunang, kita sama-sama akan mempersiapkan diri sebaik-baiknya walaupun bukan yang terbaik untuk hari pernikahan dengan KEMATIAN. Wallahua'lam.

Cukuplah kematian itu mengingatkan kita... Cukuplah kita sedar kita akan berpisah dengan segala nikmat dunia. Cukuplah kita sedar bahawa ada hari yang lebih kekal, oleh itu sentiasalah berwaspada. Bimbang menikah tergesa-gesa, tahu-tahu sudah disanding dan diarak seluruh kampung walau hanya dengan sehelai kain putih tak berharga.


~DUNIA HANYA SEMENTARA~

Saturday, October 30, 2010

Guru Jutawan Akhirat

Buku ini merupakan nukilan Tn. Hj. Shopuan Anuar B. Hj. Ahmad, Penolong Pengarah Kanan Pengurusan Dakwah, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Selangor. Beliau merupakan seorang yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang pendidikan.

Setiap insan perlu belajar atau menuntut ilmu. Tujuan belajar adalah untuk menghilangkan kejahilan. Hadith Nabi s.a.w. juga ada menyebut apabila mati anak Adam, semua perkara akan ditinggalkan kecuali 3 benda: 1. ilmu yang dimanfaatkan 2. sedekah jariah 3. doa daripada anak yang soleh.

Jadi di sini kita dapat lihat betapa pentingnya ilmu. Mengapa Iqra' dijadikan ayat pertama kepada kita sebagai umat Islam? Kenapa ALLAH tidak menurunkan surah Al-Ikhlas sebagai surah pertama? Bukankah surah itu menyatakan berkenaan ketauhidan kita kepada Pencipta kita, ALLAH?

1. Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa.
2. Sesungguhnya Allah kekal.
3. Dia tiada beranak dan Dia pula tidak diperanakkan
4. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.

Maka, ada maksud tersirat suruhan ALLAH supaya kita membaca (iqra'). Membaca bukan sekadar membaca tetapi membaca dengan nama ALLAH.

"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)"... Al-Alaq: 1

Entry saya ini bukanlah ditujukan kepda guru semata-mata tetapi kepada semua insan. Kita adalah guru. Mungkin bukan guru berdasarkan kelayakan sijil atau ijazah tetapi guru di belakang tabir. Kita ada lah guru untuk diri sendiri, ibu bapa juga adalah guru, kawan-kawan juga adalah guru, semua orang adalah guru untuk dirinya sendiri.

Tugas seorang guru tidaklah cukup sekadar mengajar akademik semata-mata tetapi guru juga perlu meniupkan ruh dalam setiap ilmu yang diajarkan. Misalnya: seorang guru matematik mengajar subjek kira-kira kepada pelajar-pelajarnya. 2+2=4. Hasilnya tidak akan menjadi 5,7, dan 11 (kecuali dengan kuasa ALLAH). Maka, apabila meningkat dewasa, pelajar pun terlibat dalam dunia pekerjaan, menjadi seorang jurutera. Dalam bekerja, kita telah dididik supaya bekerja dengan ikhlas, membuat hitungan dengan betul, kerana setiap perbuatan akan dihisab. Ingatlah, walau sebesar zarah sekalipun amalan kita akan dihisab oleh ALLAH tidak kira ia merupakan amalan kebaikan atau kejahatan (al-zalzalah; ayat 7).

Guru perlu menghubungkan ilmu dengan Tuhan. Setiap huruf dan patah perkataan yang diajar akan menjadi nur (cahaya) di akhirat. InsyaALLAH. Maka, pepatah 'Guru Ibarat Lilin' perlu diubah kepada 'Guru Ibarat Matahari'. Lilin akan membakar dan terus membakar dirinya sedangkan matahari akan menerangi dan terus menerangi alam serta memberi manfaat kepada makhluk yang lain. Demikian pendapat daripada Tn. Hj. Shopuan.

Menurut Imam Al-Ghazali, guru boleh dikategorikan kepada:
1. mudarris --> guru/ orang yang mengajar. hanya melibatkan pengajaran dan pembelajara sahaja (P&P).
2. mu'allim --> orang yang berilmu. guru perlu menguasai bidang yang diajar itu.
3. mu'addib --> orang yang mendidik adab. mengajar pelajar berakhlak dan nilai-nilai murni.

Tambahan daripada penulis buku:-
4. murabbi --> orang yang mendidik atau mentarbiyah. guru membangunkan minda dan jiwa pelajarnya daripada kurang sempurna kepada lebih sempurna.
5. mursyid --> guru yang memulihkan. maksudnya guru berperanan memulihkan pelajar-pelajar dengan menyemai sifat mahmudah serta membuang sifat mazmumah.
6. al-walid --> ertinya ibubapa. guru perlu menyayangi pelajar seperti anak sendiri.
7. dai'e --> pendakwah. guru perlu mengajak anak didiknya menjadi orang baik, mencintai amalan kebaikan. (Cakap dalam hati, "Saya budak baik, saya suka buat baik, Tuhan suka dengan orang yang buat baik) (*_*)

Sebuah syair daripada Imam Syafie:~
Saudaraku, kamu tidak akan menguasai sesuatu ilmu itu kecuali dengan 6 perkara:-
1. cerdik
2. haloba- berasa tamak untuk menguasai ilmu. berumba-lumba dalam manuntut ilmu.
3. bersungguh-sungguh
4. ada kemampuan/ perbelanjaan
5. dampingi guru
6. masa yang panjang- belajar dan terus belajar sehingga ke liang lahad

Guru juga umpama menghuni rumah kaca. Rupa diri dalam seperti akhlak mahmudah manakala rupa diri luar seperti penampilan yang menjadi perhatian. Maka, guru juga perlulah menjaga etika berpakaian ke tempat kerja.

Kesimpulannya, tugas seorang guru merupakan tugas yang mulia. Guru-guru patut berasa 'izzah dengan tanggungjawab yang terpikul di bahu mereka. Mereka bukan sekadar mengajar tetapi perlu meniupkan ruh dalam setiup ilmu yang diberikan, meniupkan ruh mengenal Tuhan kepada anak didik.

~ "Kami rela dimarah daripada tidak diberi perhatian"
~ Tegur-menegur itu amalan baik, yang tidak baiknya jika yang ditegur itu tegar dan yang menegur pula kasar.
~ Bekerja kerana ALLAH tidak rugi sama sekali. Ianya pasti dibayar. Pokok pangkalnya, ikhlaskan hati bekerja kerana ALLAH.

Wallahu'alam..

Balaslah Kejahatan Dengan Kebaikan

Di satu sudut pasar Madinah Al- Munawarah ada seorang pengemis Yahudi buta. Hari demi hari apabila ada orang yang mendekatinya dia selalu berkata, "Wahai saudaraku janganlah kamu dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya kalian akan dipengaruhinya."

Namun tanpa disedari pengemis Yahudi buta, setiap pagi Rasulullah SAW mendatanginya dengan membawa makanan. Tanpa berkata sepatah kata pun Rasulullah SAW menyuapkan makanan yang dibawanya kepada pengemis itu walaupun pengemis itu selalu berpesan agar tidak mendekati orang yang bernama Muhammad. Begitulah yang dilakukan oleh baginda pada setiap hari sehinggalah ke saat kewafatannya.

Setelah kewafatan Rasulullah SAW, tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu. Suatu hari Abu Bakar Radhiallahu Anhu (RA) berkunjung ke rumah anaknya Aisyah. Beliau bertanya kepada anaknya, "Anakku adakah sunnah kekasihku yang belum aku kerjakan?"

Aisyah menjawab pertayaan ayahnya, "Wahai ayahanda, engkau adalah seorang ahli sunnah dan hampir tidak ada satu sunnah pun yang belum ayahanda lakukan kecuali satu sunnah saja."

"Apakah itu?", tanya Abu Bakar RA.

"Setiap pagi Rasulullah SAW selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang berada di sana," kata Aisyah.

Keesokan harinya Abu Bakar RA pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikannya kepada pengemis itu. Beliau mendatangi pengemis itu dan memberikan makanan itu kepadanya.

Ketika Abu Bakar RA mulai menyuapkan nasi, si pengemis itu marah sambil berteriak, "Siapakah kamu?"

Abu Bakar RA menjawab, "Aku orang yang biasa."

"Bukan! Engkau bukan orang yang biasa mendatangiku," jawab si pengemis buta itu.

"Apabila dia datang kepadaku, tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapkan aku tetapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut," pengemis itu melanjutkan perkataannya.

Abu Bakar RA tidak dapat menahan air matanya. Beliau menangis sambil berkata kepada pengemis itu, "Aku memang bukan orang yang biasa datang padamu, aku adalah salah seorang daripada sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada lagi. Beliau adalah Muhammad Rasulullah SAW."

Setelah pengemis itu mendengar cerita Abu Bakar RA, dia pun menangis dan kemudian berkata, "Benarkah demikian? Selama ini aku selalu menghinanya dan memfitnahnya. Dia tidak pernah memarahiku walau sedikit pun, malah dia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi. Dia begitu mulia.."

Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya bersyahadah dihadapan Abu Bakar RA.